Memaparkan catatan dengan label Sup. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sup. Papar semua catatan

Jumaat, 15 Ogos 2014

SOTO SUP TULANG

Assalamualaikum..
Untuk penggemar soto, sesekali bolehlah guna tulang lembu untuk kuahnya.Lebih enak dari rebusan sup ayam..Tapi mungkin tak semua orang gemarkannya.Jadi bolehlah buat pilihan...heheee
Saya lebih suka rebuskan sup tulang tanpa menumis bahan-bahan perencahnya untuk mengelakkan terlalu berminyak.Sebab rebusan sup dengan sendirinya akan mengeluarkan lemak hasil dari lemak lembu tu kan...Namun terpulang pada citarasa masing-masing.Untuk yang gemar di tambah sambal kicap, bolehlah buat sekali sambal tersebut.Tapi saya lebih suka kosong macam tu je..eheee.
SOTO SUP TULANG
Oleh; Rohah

Bahan-bahan Sup Tulang
Tulang lembu
Air secukupnya
Bawang besar, hiris
Bawang putih, hiris
Halia, diketuk
Kayu Manis
Bunga lawang
Lada putih
Sup Bunjut
Kiub lembu knorr secukupnya
Garam
Sedikit Gula

Bahan Lain
Beberapa ketul ayam, didigoreng dan siat
Ketupat Nasi, direbus
Suhun, di goreng 
Kacang tanah, digoreng

Bahan taburan:
Tauge
Daun sup
Daun bawang
Bawang goreng

Sambal Kicap
Cili api secukupnya
Sedikit bawang putih, ketuk
Jus limau nipis jika perlu
Sedikit garam dan gula
Sedikit air
;;;masak kesemua  bahan  hingga mendidih

Cara menyediakan:
1.Rebus tulang lembu dengan air secukupnya dalam anggaran 1 jam 30 minit.
2.Apabila sudah agak lembut dagingnya, masukkan hirisan bawang besar, bawang putih, halia, sup bunjut, bunga lawang, kulit kayu manis dan kiub lembu.Teruskan mereneh sehingga tulang betul2 empuk.
3.Masukkan pula sedikit gula dan garam apabila sup kelihatan sudah sebati.Diikuti pula dengan lada putih kisar.
4.Tutup api dan hidangkan sup bersama bahan-bahan taburan.
5.Hidangkan bersama hirisan ketupat nasi, suhun goreng dan isi ayam beserta bahan-bahan taburan yang lain. 

Khamis, 10 Julai 2014

SUP AYAM CENDAWAN PETIR

Assalamualaikum

Keenakan pada rasanya berbanding spesis cendawan2 lain memang tak dapat dinafikan..Agak luar biasa bila telah dinikmati.Kali ni masuk kali kedua  dapat makan cendawan petir ni, sebab susah nak dapat.Seangkatan juga dengan namanya yang agak unik.Dipanggil juga sebagai Kulat Tahun.Boleh baca info di SINI.
gambar; Google


Saya buatkan sup je, memang berselera dibuat hidangan ketika sahur.Cukup lembut isi cendawan ni, dan rasa segar bila dihirup kuah supnya walaupun penyediaannya cukup simple.
SUP AYAM CENDAWAN PETIR
Oleh;Rohah

Bahan-bahan
5 ketul bahagian ayam, potong kecil isinya
Beberapa ketul kaki ayam
Cendawan petir secukupnya
1 labu bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, hiris
Cili api secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit lada sulah
Daun sup
Minyak untuk menumis

Cara
1.Tumiskan bawang sehingga layu dan garing.Masukkan air dan renehkan.
2.Masukkan kaki ayam dan biarkan separa empuk, barulah dimasukkan hirisan isi ayam.
3.Tuangkan cendawan dan butiran cili api.Biarkan sehingga cendawan masak.
4.Perasakan dengan serbuk lada sulah, garam dan sedikit gula.
5.Hidangkan bersama hirisan daun sup.



Khamis, 3 Julai 2014

SUP AYAM HADNYAI

Assalamualaikum..
Hidangan sup memang tak jemu dijamah kan...yang pastinya menyegarkan dan tergolong dalam menu sihat untuk diamalkan..
Sekali hirup pasti menyusul lagi hirupan demi hirupan, memang merangsang kesegaran pada tubuh kita..
Langsung teringin nak jamah Sup Ayam Hadnyai ni bila ternampak kat dapur Kak Amie beberapa hari yang lepas..Yang pastinya sebab mudah disediakan dan tak muak untuk dijadikan hidangan sahur sekali..Kelainannya pada rasa tetap ada, mehlah cuba...
SUP AYAM HADNYAI
Resepi;Pyonda

Bahan-bahan
1 kg ayam, potomg ikut suka
5 batang serai, tumbuk pecah
7 cm lengkuas, hiris sederhana nipis dan tumbuk pecah
2 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
3 batang kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
1 liter air
Sedikit minyak
Garam atau perasa pilihan
Hirisan daun sup dan daun bawang serta daun dan batang saderi [saya guna daun ketumbar dan  daun sup]

Bahan Tumbuk
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 biji cabai
4 cm halia
2 sudu besar ketumbar biji
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih

Cara
1.Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk sehingga naik bau.
2.Masukkan ayam dan gaul rata.Tutup selama 5 minit.
3.Masukkan batang saderi.
4.Tambahkan  air.Biarkan hingga masak.
5.Perasakan dengan garam/ perasa pilihan.
6.Hidangkan bersama daun bawang, daun sup dan perahkan sedikit limau nipis.


Rabu, 18 September 2013

SUP CENDAWAN [MUSHROOM SOUP]


Assalamualaikum..
Sesekali hirup sup omputih ni sedap jugakkan..Beli je roti panjang yang dah siap tu dan sapukan mentega bawang putih.Kalau rajin, buat je sendiri mentega tu, sekejap je siap.Saya biasa guna resepi ni, memang sedap dan menjimatkan.Boleh lihat kat sini untuk resepi mentega bawang putih tu.Terselit juga kat situ resepi Mushroom Soup dengan versi yang sedikit berbeza dari resepi kali ini..beza sikit je...
Kali ni saya try resepi Mushroom Soup yang menggunakan ubi kentang sebagai bahan asasnya..Lebih pekat dan lemak..TQ buat Ustazah Norlida dan Khai yang sudi berkongsi resepi. 

SUP CENDAWAN [MUSHROOM SOUP]
Resepi; Norlida
Sumber; Khai

Bahan-bahan;
6-7 biji cendawan [cincang]
4 biji kentang  [rebus dan blend hingga halus]
1 tin evaporated milk/susu cair
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
1 labu bawang besar kuning/ holland
Sedikit garam
1 kiub ayam
Isi ayam [cincang halus]

Cara memasak;
Satukan semua bahan dalam periuk, masak dengan mengacaunya perlahan-lahan dengan api sederhana sahaja.

Selasa, 23 Julai 2013

SUP TULANG ALA SIAM


Assalamualikum..
Kembali bersiaran, alhamdulillah.Banyak hari juga saya tak m'update dan BW..harap2 semua rakan maya ceria..
Menu yang menyegarkan untuk dibuat makan sahur..tapi yang ni N3 tertunggak sebelum ramadhan hari tu, tapi kalau ada sesiapa yang teringin nak jamah sup untuk dibuat makan sahur, bolehlah buat..TQ buat Faa atas resepinya..

SUP TULANG ALA SIAM
Resepi;Faa

Bahan-bahan;
1/2 kg tulang
5 ulas bawang merah [tumbuk]
3 ulas bawang putih [tumbuk]
1/2 inci halia [tumbuk]
1 paket rempah sup bunjut untuk sup tulang
1 sudu besar rempah sup serbuk [dikacau bersama sedikit air]
1 sudu sos ikan - saya guna 1 sb
2 biji ubi kentang -[potong 2] saya tak letak
4 biji cili padi [ketuk]
1/2 biji bawang besar kuning [hiris bulat-bulat]
1 biji perahan air limau nipis
1 biji tomato [dibelah 4]
1/2 batang saderi [hiris]
Sedikit daun sup
Sedikit daun bawang
Sedikit bawang goreng
Sedikit minyak untuk menumis
Sedikit garam, gula dan bahan perasa

Cara Menyediakan;
1.Rebuskan tulang bersama air selama 1/2 jam [saya rebus 1 1/2 jam] sehingga empuk, pastikan air menenggelamkan kesemua tulang.Apabila sudah empuk, ketepikan dahulu rebusan ini.
2.Tumiskan pula bawang merah, bawang putih dan halia bersama dengan rempah sup bunjut sehingga garing dan naik bau.
3.Masukkan rempah sup serbuk dan sos ikan beserta kesemua air dan rebusan tulang tadi.
4.Tambahkan ubi kentang dan biarkan sehingga 30 minit.
5.Selepas 30 minit masukkan cili padi, hirisan bawang kuning, tomato, saderi dan perahan air limau nipis.
6.Tambahkan bahan perasa, garam  dan sedikit gula.Gaul dan sesuaikan rasa.
7.Tutup api dan sedia untuk dihidang.Taburkan bawang goreng, daun sup dan daun bawang.


Isnin, 28 Januari 2013

SUP TULANG ALA CHEF WAN

Assalamualaikum..
Macam dah lama sangat tak bersiaran, walhalnya baru 3 hari tak mengupdate...rindu sudah pada blog ni walaupun tak secanggih blog orang lain..eheeee...

Jom try buat sup ni, warnanya memang nampak merah sebab ada tomato puree..Resepi asal dari Chef Wan, beliau mencipta resepi sup ni untuk sup ekor lembu sebenarnya..eemmmm, sedapnya kalau dapat makan sup ekor tu kan..tapi sebab tak ada ekor lembu, sama macam seperti Che Mat Gebu juga, saya gantikanlah dengan tulang lembu..Sedap tak terkata sup ni, memang wajib cuba tauuu...TQ kepada  Chef Wan dan Che Mat Gebu yang sudi share resepinya..

SUP TULANG ALA CHEF WAN
ResepiAsal:Chef Wan 
Sumber:Che Mat Gebu

Bahan-bahan:
1kg tulang rawan lembu (resepi asal 500gm ekor lembu)
2 camca besar serbuk ketumbar
1 camca besar serbuk jintan manis
1 1/2 camca besar tomato puree
Air secukupnya
1 batang lobak merah | kupas & potong dadu
1 biji kentang | kupas & potong dadu
2 batang saderi |potong dadu
Garam secukup rasa
Lada hitam yang baru dikisar secukupnya
Hirisan daun ketumbar (Saya guna daun bawang)
Bawang goreng

Bahan kisar halus:
10 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 batang serai | hiris 
1 inci halia 

Bahan Tumis:
4 biji buah pelaga
2 batang kayu manis
6 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang

Cara membuatnya:
1.Tulang lembut dicuci bersih dan toskan.Panaskan minyak dalam periuk, goreng tulang lembu tadi hingga perang, angkat dan toskan.Dalam minyak yang sama, masukkan rempah tumis dan bahan kisar halus, goreng hingga naik bau.
2.Tambah serbuk ketumbar, serbuk jintan manis dan serbuk jintan putih, kacau 3-4 minit hingga harum.Tambah tomato puree.Masak sekejap dan masukkan tulang lembu tadi, gaul rata dan tuang air secukupnya.
3.Renehkan hingga daging pada tulang tadi empuk (kurang lebih 2 jam).Tambah kentang, lobak merah dan saderi, masak lagi hingga kentang empuk.Tambah garam secukup rasa, sedikit gula dan lada hitam, kacau dan masak 2-3 minit.
4.Rasa dan jika ok boleh matikan api.Hidangkan dengan menabur hirisan daun ketumbar dan bawang goreng.Sedap dimakan begitu saja atau bersama roti.Jika kelihatan minyak agak banyak, boleh dicedok keluar.





Isnin, 19 November 2012

BAKSO


Assalamualaikum,
Selamat petang dan didoakan semuanya dalam keadaan yang baik2 sahaja.Amin.Bertemu lagi di sini alhamdulillah.Kali ini berkongsi menu Bakso.

Segerrr dapat hirup kuah/sup bakso ni, tambahan pula ada bebola daging yang yang lembut untuk dikunyah2..Sebelum ni memang berhajat nak buat bakso, sebab dok teringat banyak stock daging korban, tambah2 lagi bila nampak Tun yang jauh nun kat Sarawak tunjuk bakso dia, memang skip terus resepinya untuk dijadikan percubaan.Sedap Tun, tq untuk semua yang sudi menjalar-jalarkan resepinya...Yang syoknya bila tak sedar ngap ngap bebola Sapi tu banyak ketul.Saya gentel bebola tu saiz guli batu zaman dolu2 tu tau...bilang punya bilang 7 ketul dah jadi bahagian saya..haiiiishhh...Tak boleh jadi tahap selera masa tu.
Resepi boleh dilihat di bawah tu ye. 

BAKSO KUAH DAGING SAPI
Resepi:Deetha dari Chef Budi Boga@Sutomo
Sumber:Tun, sebelum tu dari Hana & Ika

Bahan-bahan:
60gm sawi | celur dan dipotong 
60gm bihun | celur dan toskan (tak guna)
60gm mee kuning | celur dan toskan (saya guna 1 peket mee)
1 sudu makan bawang goreng
1 sudu makan daun sup | cincang

Untuk kuah @ sup:
1500ml air rebusan daging@kiub pati lembu
4 ulas bawang putih | cincang
1 sudu makan kicap cair
1 sudu makan batang saderi | cincang
1 sudu makan minyak | untuk menumis
1  sudu teh garam
1 inci halia | ketuk (saya tambah)

Untuk Bebola Sapi@Bakso:
400gm daging lembu hancur
1 sudu makan tepung gandum
2 sudu makan tepung ubi
1 biji putih telur
1/4 sudu teh serbuk lada sulah
1/4 sudu teh garam

Bahan Sampingan:
Cili padi | tumbuk + air rebusan daging @ air limau
Sos tomato (tak letak)
Kicap manis ABC

Cara-cara:
1.Untuk membuat bebola Sapi@Bakso:Campurkan semua bahan.Ambil sedikit dan bulat2kan kecil.Rebus dengan air mendidih  hingga terapung, angkat dan toskan.
2.Untuk membuat kuah:Panaskan minyak, tumis bawang putih hingg harum, masukkan air rebusan, kicap cair, lada sulah, garam dan saderi cincang.Masak hingga mendidih dan matikan api.
3.Untuk hidangan:Atur mee kuning, bihun, sawi dan bebola di dalam mangkuk.Tuang kuah bakso panas.Tabur dengan bawang goreng, cili tumbuk, sos tomato, dan juga kicap manis.Hidangkan.

Tips:Rebus bebola @ bakso di dalam air mendidih  dengan api sederhana.Jangan dengan air yang terlalu mendidih.Ini akan menyebabkan bakso @ bebola akan pecah  dan teksturnya tidak halus.



Selasa, 30 Oktober 2012

SUP IKAN MAYONG


Assalamualaikum
Selamat pagi dan salam ceria2 selalu.Hari ni saya ingin kongsikan menu simple tapi segar je bila hirup kuah dia time panas2 lagi.Maklum je beberapa hari ni kita asyik menjamah menu daging je kan.So, kita rehatkan dulu perut kita dari menu daging tu ye..

Untuk sup ikan macam ni saya memang gemar menggunakan punjut Sup Ikan ADABI sebab dalam paket tu dah ada sekali kayu manis, buah keras dan istimewanya ada daun salam sekali, itu yang menjadikan sup kita harum dan enak kuahnya.Untuk resepinya yang simple tu bolehlah jengah di bawah tu ye.

SUP IKAN MAYONG
Resepi:rohaisha

Bahan-bahan:
1kg ikan mayong
3 ulas bawang merah | hiris
3 ulas bawang putih | hiris
1 punjut Sup Ikan ADABI (1 paket)
1 batang serai | ketuk
5 inci halia | ketuk
Lada putih kisar secukupnya
Garam
Gula
Minyak masak
Daup sup
Bawang goreng

Cara:
1.Tumiskan bawang merah, bawang putih, halia dan serai hingga wangi dan kekuningan.Masukkan air secukupnya.Didihkan.
2.Masukkan ikan dan punjut Sup Ikan.Biarkan ikan masak sepenuhnya.Perasakan dengan garam, gula dan lada putih kisar secukupnya.
3.Matikan api.Hidangkan bersama hirisan daun sup dan bawang goreng.

Jumaat, 12 Oktober 2012

SOTO AYAM


Assalamualaikum....
Bersiaran lagi.Hari ni bubuh N3 tertunggak juga, menu hari raya hari tu.Soto  yang simple je.Ni kira menu pebret saya, kiranya kalau tiba hari raya memang suka buat dan makan soto walaupun kekadang sekadar nak menjamu keluarga je.Kesimpulannya sambut mood rayalah kan..
Untuk buat sup ni biasanya saya guna dua cara, yang ni saya hasilkan kuah supnya hasil dari air rebusan ayam.So, bawang2 semua tu saya tak kisar, just hiris halus dan masukkan sahaja.Ringkas je resepinya, so bolehlah rujuk di bawah ye.


SOTO AYAM
Resepi:Rohah

Bahan-bahan:
2 kiub ketupat nasi (saiz besar)
100gm so hoon/ suhun
4 bahagian ayam
8 cawan air /secukupnya
5 inci halia | ketuk
5 ulas bawang merah | hiris
2 ulas bawang putih | hiris
1 buntil sup bunjut
2 sudu besar rempah sup | bancuh dengan sedikit air
2 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
1 biji kiub ayam knorr

Bahan sampingan:
Daun sup
Daun bawang
Bawang goreng
Cili merah besar
Taugeh (lupa nak bubuh daaa..)
Kacang tanah goreng secukupnya
Sambal kicap

Cara:
1.Panaskan minyak dan goreng suhun sedikit demi sedikit.Ketepikan.
2.Rebus ayam besama air hingga ayam kelihatan empuk.Asingkan ayamnya, dan jangan buang air rebusan kerana akan dibuat untuk supnya pula.
3.Ayam disiat kecil2 dan ketepikan.
4.Untuk sup tadi, masukkan sahaja hirisan bawang merah, bawang putih, halia, bunga lawang, kulit kayu manis, kiub ayam, sup bunjut dan rempah sup.Biarkan sehingga bahan-bahan tersebut meresap.
5.Perasakan dengan garam dan sedikit gula.Matikan api.
6.Hidangkan nasi impit bersama suhun goreng, ayam  dan kuah sup tadi.Taburkan pula bahan2 sampingan dan sambal kicap, selamat menjamu selera.


Khamis, 6 September 2012

SUP TULANG ISTIMEWA



Assalamualaikum...
Jom jamu selera...Inilah antara menu yang saya hidangkan time bulan puasa ari tu.
Memang syoklah dapat hirup kuah sup tu, sebab ramuannya memang pelbagai, jadinya terbitlah aroma yang sedap dihidu..ehee..

SUP TULANG ISTIMEWA
resepi:rohaisha

Bahan-bahan:
1 kg tulang rawan lembu (yang ada isi)*
3 batang serai* | ketuk
Air secukupnya* (rebus bersama)
1 labu bawang besar | hiris
3 ulas bawang putih | hiris
10cm halia | hiris lebar
4cm lengkuas | ketuk
Cili api secukupnya | ketuk
1/2 sudu kecil ketumbar biji
1/2 sudu kecil jintan manis
1/2 sudu kecil jintan putih
1/2 sudu kecil serbuk lada putih
1 sudu kecil serbuk lada hitam (yang telah dikisar)
1 bunjut rempah sup bunjut/sup tulang
2 kuntum bunga lawang
3cm kulit kayu manis
3kuntum biji pelaga
5 kuntum bunga cengkih | buang tengahnya
2 biji tomato | potong 4
1 biji limau nipis | ambil jusnya
Saleri secukupnya | hiris (tak ada stock)
Gula
Garam
Daun sup
Daun ketumbar (tak ada stock)
Bawang goreng

Cara:
1.Rebuskan tulang rawan bersama air dan serai anggaran 1 1/2 jam.Tambahkan air jika perlu @ air menyusut.Biasanya tulang daging yang melekat pada tulang rawan dah mulai empuk dalam anggaran masa sebegini.
2.Setelah separa empuk, masukkan kesemua bahan kecuali batang saleri, tomato, garam dan jus limau.Teruskan lagi merebus agar bahan-bahan perencah sebati, isi daging bertambah lembut dan beraroma.
3.Setelah empuk (anggaran 2 hingga 2 1/2 jam), barulah dimasukkan  cili api, garam, hirisan saleri, jus limau dan tomato.Biarkan seketika.
4.Matikan api dan hidangkan sup bersama hirisan daun sup, daun ketumbar dan bawang goreng.
5.Hidangkan bersama sambal kicap.


Ahad, 15 April 2012

MUSHROOM SOUP




MUSHROOM SOUP
Resepi asal:MINAMI SAN MyR
Sumber:ijayuji

Bahan-bahan: (6 orang)
1 keping dada ayam
1500ml air
500ml susu segar
1 ketul kiub ayam (saya guna 2 kiub)
1 tin kecil cendawan butang
Garam
Secubit ajinonoto (saya tak letak)
1 cawan tepung gandum (saya guna 1/2 cawan)

Cara:
1.Potong ayam kecil-kecil.Masukkan ayam dan air ke dalam periuk.Rebus sehingga masak.
2.Masukkan susu dan kiub ayam .Masak guna api yang perlahan.Masukkan mushroom.
3.Masukkan bancuhan tepung dan kacau sehingga pekat.Tambah perisa, garam dan ajinomoto.Siap untuk dihidang.Sedap di makan dengan roti.