Khamis, 18 April 2013

KARIPAP RANGUP



Assalamualaikum..
Suka makan karipap, tapi malas nak buat..Gitu kisahnya..Selalu beli kentang dengan niat nak buat inti karipap, tapi asyik jadi benda lain..buat suplah, cucurlah...:D, maklum..ribut M melanda selalu bila time nak buat inti.


Banyak versi untuk membuat kulit karipap, ada yang rangup, rapuh dan sebagainya.Kiranya kuantiti @ saiz bahan mentah yang terkandung dalam adunan itu sendiri yang membezakan karipap itu menjadi rapuh, lembut dan sebagainya.


Berkongsi adunan karipap yang agak unik kali ini, sebab selain tepung gandum dalam bancuhannya, terkandung juga tepung beras dan tepung ubi..Licin dan cantik hasil adunannya.Suka dengan adunan kulit karipap ni.Resepinya saya kongsi dari blog resepianakbapak.blogspot.com.Nama sebenar pemilik laman tersebut saya tak berapa pasti.Boleh kunjungi blog beliau.Tq buatnya.
KARIPAP RANGUP
Bahan-bahan:
(A)
1 kilo tepung gandum
100 gm tepung beras
100 gm tepung ubi
Serbuk lada putih/sulah (tak letak)
1 sudu makan gula

(B)
4-5 sudu makan marjerin atau butter | dicairkan
1/2 cawan minyak masak

Garam secukup rasa* (anggaran 1/2 sudu makan)
Air suam untuk menguli* | satukan bhn (*)

Cara-caranya:
1.Campurkan kesemua bahan A (kecuali garam) ke dalam bekas adunan.Pastikan digaul rata dan sebati.Setelah sebati, masukkan bahan B dan digaul rata/ sebati.Pastikan ianya rata keseluruh adunan.Ianya akan kelihatan sedikit bergentel.Ratakan adunan sehingga menjadi gentelan yang agak halus.
**Untuk mengenalpasti adakah ianya sudah cukup sebati atau tidak, kepalkan sedikit adunan dengan tangan dan boleh dilihat ianya berkepal dan agak padat (tidak mudah terlerai).
2.Bolehlah diikuti dengan proses menguli.Masukkan sedikit demi sedikit air suam yang bercampur garam tadi ke dalam adunan.Ulilah sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh lembut dan kenyal.Pastikan ianya tidak melekit di tangan dan dinding bekas adunan.Jika melekit, tambah sedikit tepung dan diuli sedikit.
3.Perapkan doh tadi dalam 1/2 jam.Perap ia dengan menutup ketat (menutup bekas dengan kain atau penutup.Setelah 1/2 jam jam keluarkan adunan dan diuli sedikit.Sudah boleh diguna.

***Adunan ini boleh dipakai berkali-kali.Untuk menyimpannya, masukkan ke dalam plastik dan letak di tempat beku (freezer).Nyah beku secara semulajadi apabila hendak menggunakannya kembali.Ianya juga boleh dijadikan Roti Bom Goreng (sejenis makanan kaum India).

Nota rohah:Saya buat separuh adunan dari sukatan di atas.

Inti Ayam 
Oleh:rohah

**(sukatan inti untuk separuh adunan kulit karipap di atas)

Bahan-bahan:
100 gm isi ayam | potong dadu
5 ulas bawang merah | kisar
3 ulas bawang putih | kisar
6 biji kentang saiz sederhana besar | potong dadu
3 sudu besar serbuk kari | bancuh bersama sedikit air
15 gm ikan bilis | kisar
2 cawan air
Garam 
Gula
Minyak untuk menumis

Cara:
1.Tumiskan bahan kisar hingga wangi.Masukkan bancuhan serbuk kari.Kacau hingga naik minyak.
2.Masukkan air.Renehkan.Masukkan kentang dan sesekali kacau alih.Perisakan dengan garam dan gula secukup rasa.
3.Masak hingga kentang empuk dan kuahnya kering.Angkat dan sejukkan.


Rabu, 17 April 2013

BUBUR SUM SUM


Assalamualaikum..
Panas terik beberapa hari ni,kalau ada dessert yang sesuai seakan reda kepanasan yang dirasai.Minggu lepas saya berkesempatan membuat dessert yang cukup sinonim dengan masyarakat jawa, sedap dimakan ketika sejuk..



Memang kebiasaannya jika ada majlis kenduri kendara, di rumah/kg  saya tak ketinggalan dengan menu ini.Lemak2 pada rasa adunan tepungnya, dan terasa manis beraroma pandan apabila dihirupkan sirap/kuahnya.Yang penting buatlah adunan sirap gula dengan kadar manis yang sesuai untuk menjaga kesihatan.

Biasanya kalau tanya sukatan apa2 resepi tradisi pada bonda saya, mesti dia akan kata;"agak-agak" je..Kalau kena kat saya yang kurang arif dengan ilmu sukat "agak"2 ni memang boleh fail kuih yang kita buat.Tapi alhamdulillah saya cuba adunkan dengan sukatan sendiri (sebab confident kot..), menjadi dengan elok..Selamat mencuba bagi yang teringin nak rasa.


BUBUR SUM SUM
Oleh:rohah

Bahan-bahan: (utk 18 cup saiz INI)
2 cawan tepung beras
1 1/2 liter santan (dari sebiji kelapa)
1 1/2 sudu kecil garam
2 helai daun pandan

Cara:
1.Satukan kesemua bahan dalam bekas.Kacau sekata.
2.Masak dalam periuk/ kuali atas api sederhana .Kacau sentiasa sehingga bancuhan tepung menjadi likat dan meletup-letup supaya tanak.
3.Matikan api.Sudukan bubur sum sum ke  dalam bekas yang sesuai.
4.Hidangkan bersama air gula merah.Sedap di makan ketika sejuk.

Air Gula merah/ Sirap
Bahan-bahan:
1 cawan gula merah
2 sudu besar gula
800 ml air
2 helai daun pandan

Cara:
1.Satukan kesemua bahan dalam periuk.Masak hingga mendidih.
2.Tapiskan.

Selasa, 16 April 2013

BINGKA PISANG


Assalamualaikum...
Bingka pisang merupakan kuih yang tak pernah jemu disantap oleh my hubby.Janji pisangnya banyak dan terasa, pasti menepati citarasanya.Kalau lebih tepung je macam tak berapa ada rasa.

Tempohari memang banyak stock pisang awak hasil tanaman di tanah rizab berhampiran kawasan perumahan saya ni.Dah puas makan yang bergoreng, buat cekodok, lepat dan sebagainya, selebihnya saya buatkan bingka pisang ni.Alhamdulillah habis..

BINGKA PISANG 

resepi:rohah

Bahan-bahan: (loyang 8")
10 ulas pisang awak (kisar sekali dgn santan pun boleh)
3/4 cawan gula perang
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1 cawan santan pekat
1/2 cawan minyak
1 biji telur
1 sudu kecil esen vanila

Cara:
1.Lecek pisang bersama garam, ketepikan.
2.Blenderkan gula perang, telur dan santan.
3.Satukan pisang dengan bahan kisar, esen vanila dan minyak masak.Kacau sebati menggunakan whisk.
4.Sapukan loyang berukuran 8" dengan marjerin.Masukkan adunan ke dalam loyang dan taburkan bijan secukupnya di permukaannya.
4.Panaskan oven pada suhu 200 darjah celcius.Bakar adunan selama 1 jam.

Isnin, 15 April 2013

MERAH BERSERI SI AKAR DANI


Assalamualaikum..
Bertemu lagi alhamdulillah.Hari ni bersiaran langsung dengan tanaman yang bisa menyejukkan pandangan mata.N3 sebelum ni SINI mencoretkan bunga Akar Dani saya yang baru belajar berputik setahun yang lalu.Itupun setelah setahun saya menanam pokoknya yang mana saya ambil anak pokok tersebut dari rumah bonda di kampung.Pertumbuhannya agak lambat dan terasa lama untuk menanti bunganya merimbun pula.

Cantik dijadikan sebagai pohon gerbang jika mahu, tapi saya ketepikan niat itu sebab dedaun kering yang bakal berguguran tidak sanggup untuk saya bersihkannya.Saya hanya mencantas jika untaian dahannya sudah terlalu panjang.Bolehlah baca info mengenai Pokok Akar Dani ni yang menghasilkan bunga yang cantik dan mengeluarkan keharuman yang mengasyikkan.

MERAH BERSERI SI AKAR DANI 
Sumber:Wikipedia (POKOK AKAR DANI)


Pokok Akar Dani merupakan penjalar Asia yang memiliki rumpun-rumpun bunga merah yang menarik.Boleh didapati di belukar atau hutan sekunder Filiphina, India dan Malaysia serta di banyak kawasan lain di dunia, baik sebagai pokok hiasan yang ditanam mahupun sebagai pokok liar.Nama botaninya ialag Quisqualis yang membawa pengertian sebagai "Apakah itu?" dalam bahasa Latin.

Pokok ini dikategorikan sebagai pokok menjalar berlignin yang boleh mencapai antara 2.5 meter hingga 8 meter tingginya.Antara ciri-cirinya ialah:

1.Daunnya berbentuk elips dengan hujungnya akuminat dan pangkalnya bulat.Daun tersebut yang panjangnya 7-15 sentimeter tumbuh dalam susunan bertentangan.
2.Bunganya wangi dan berbentuik tiub, dengan warnanya berbeza-beza dari putih ke merah muda hingga merah.
3.Buahnya 30-35 milimeter panjangnya, dan rasanya seakan-akan buah badam apabila matang.Ia berbentuk elips dan memiliki lima sayap yang ketara.Buah ini disebarkan melalui air.Pokok ini juga dikenali sebagai "Drunken Sailor".

Kegunaannya boleh dikhususkan untuk dijadikan perubatan tradisional.Rebusan akar, biji atau buahnya boleh digunakan sebagai antihelmintik serta juga mengurangkan cirit birit.Rebusan buahnya boleh juga digunakan untuk merawat nefritis serta juga sebagai ubat kumur, manakala daunnya boleh digunakan untuk mengurangkan sakit yang diakibatkan oleh demam.Akarnya digunakan untuk merawat reumatisme (sengal-sengal tulang), manakala biji dan lenggainya digunakan untuk merawat cacing bulat dan cacing peniti kerana ia boleh meracuni parasit tersebut dan membunuhnya semasa di dalam saluran penghadaman.

Jumaat, 12 April 2013

CREAM PUFF

Assalamualaikum..
Salam Jumaat, penghulu bagi segala hari.Bagai mahu lagi mengunyah cream puff, tapinya seakan malas nak membuat masakan ulangan..Menu ni dah seminggu berlalu. 

Tq untuk Mamaleza dan sumber2 terdahulu atas sumber resepinya walaupun saya rasa beliau (Mamaleza) sudah tidak aktif berblogging kini.Lembut cream puff ni, alhamdulillah habis dengan pantasnya.

CREAM PUFF
Kiriman:Jeni
Sumber:Mamaleza , Umi Imah

Bahan-bahan:
Pastry:
250 ml air
125 gm butter
150 gm tepung | diayak
1/4 sudu teh garam
1 sudu teh gula
4 biji telur

Cara membuatnya:
1.Didihkan air dan butter hingga cair.Kemudian masukkan tepung yang diayak.
2.Gaul sebati hingga adunan tidak melekat di periuk.
3.Angkat dan sejukkan.
4.Bila sejuk pukul sedikit dan masukkan telur sebiji-sebiji hingga sebati..
5.Masukkan dalam piping bag dan picitkan di atas loyang yang telah disapu sedikit planta.
6.Bakar 25 minit dengan suhu 200 darjah celcius atau sehingga kekuningan.

Custard Filling:
500 ml susu segar
100 gm gula
80 gm tepung custard

Cara membuatnya:
Hangatkan susu dan gula atas api sederhana.Masukkan tepung kastard dan kacau hingga pekat.



Rabu, 10 April 2013

KOCI LABU & AWARD DARI NASYA


Assalamualaikum...
Selamat malam.N3 sebelum ni berkisar dengan buah labu, kali ni pun masih ada kaitan dengan labu.Balance buah labu masak lemak hari tu saya jadikan kuih koci..Lama tak buat koci, memang rindu sangat dengan kuih ni.

Sebelum ke tulisan seterusnya, saya ingin berterima kasih banyak2 pada Nasya kerana sudi bagi Award, siap menjemput lagi.Rasanya ramai lagi rakan seangkatan yang menerima jemputan yang sama.Semoga kita semua dapat sama2 meneruskan kemeriahan di alam maya ini dengan tujuan yang baik dan mendapat manfaat yang luar biasa di atas segala perkongsian yang ada.Cute award dia kat bawah tu:
Thanks Moni, Candy :)

Biasanya saya buat dan bungkus kuih koci style kon, dan tepung yang siap diisi dengan inti saya golek2 kan dalam minyak masak sebelum proses membungkus.Koci labu saya yang sebelum ni, SINI.Kali ni tekak mengada2 nak makan koci yang bersalut santan dan bungkusannya yang berlipat kiri dan kanan..Kiranya first time balut koci style gini.Hentam saja, kalau tersalah jangan ada yang marah ye..heheee.Suka pulak tengok kuih koci Kak Chah..tu yang refer resepi di blognya..Tq banyak2 lah Kak Chah ye..sedap lembut dan tak liat resepi kuih kocinya.Boleh buat lagi.

KOCI LABU
Resepi:Bonda tercinta Kak Chah
Sumber:Kak Chah

Bahan-bahan:
Untuk Inti:
1/2 biji kelapa parut
2/3 keping kelapa gula melaka (saya guna gula merah)
Gula pasir
2 helai daun pandan  dikoyak & disimpul
Air kelapa (juga boleh digantikan dengan air kosong biasa)
1 sudu besar tepung gandum

Cara-cara:
1.Masak gula melaka dengan air kelapa hingga gula hancur.
2.Masukkan simpulan daun pandan.
3.Masukkan kelapa dan masak dengan api perlahan hingga kelapa agak kering dan melekit.Sejukkan.

Untuk Kuih:
1 cawan labu yang telah direbus dan dilenyek.
1 1/4 cawan tepung pulut
Sedikit garam halus

Cara-cara:
1.Hancurkan semua bahan dan jadikan doh yang sekata.Adunan akan melekit sedikit pada tangan.Tidak perlu tambah tepung kerana ini akan menghasilkan kuih yang lembut dan tidak liat.

Untuk sapuan pada kuih:
1 cawan santan pekat
1 sudu teh tepung beras
Sedikit garam

Cara-cara:
1.Campur tepung dengan santan dan kacau hingga sebati.
2.Masak dengan api perlahan.Masukkan garam.
3.Apabila sudah timbul buih-buih kecil (mendidih sedikit) tutup api dan ketepikan.


Cara-cara untuk membungkus kuih:
1.Gentelkan inti sebesar saiz duit 20 sen.Ketepikan.
2.Ambil adunan tepung anggaran sebesar duit 50 sen dan bungkus inti tadi.Jika doh agak melekit, sapukan tangan dengan tepung gandum.
3.Sapukan sedikit sapuan santan ke atas daun pisang.
4.Letakkan sebiji kuih dan bungkus dengan kemas.
5.Kukus kuih kira-kira 20 minit atau sehingga kuih masak.

AWARD DARI NASYA

Terima kasih banyak2 pada Nasya kerana sudi bagi Award, siap menjemput lagi.Rasanya ramai lagi rakan seangkatan yang menerima jemputan yang sama.Semoga kita semua dapat sama2 meneruskan kemeriahan di alam maya ini dengan tujuan yang baik dan mendapat manfaat yang luar biasa di atas segala perkongsian yang ada.Cute award dia kat bawah tu:

Thanks Moni, Candy :)

LABU MASAK LEMAK BERSAMA PUCUK KADUK


Assalamualaikum..
Selamat malam..Malam2 tayang menu sayur...sah2 menu zaman bila kan...2 minggu lepas punya menu sebenarnya.Kali ni saje bubuhkan sekali beberapa tangkai daun pucuk kaduk.Biar ada aroma daun kaduk tu.Oklah, layan foto je lah ye, resepi pun simple je, kacau2  dah siap..Selamat malam semua, sampai jumpa lagi.

LABU MASAK LEMAK BERSAMA PUCUK KADUK
Oleh:rohah

Bahan-bahan:
600 gm labu | kupas kulit, potong kecil
Beberapa helai daun pucuk kaduk
1000 ml santan
5 tangkai cili api | tumbuk
2 ulas bawang merah | tumbuk
Sedikit belacan (sedikit sahaja) | tumbuk
15 gm ikan bilis | buang tulang | tumbuk
Garam
Gula

Cara:
1.Masukkan santan dalam periuk beserta bahan-bahan yang telah ditumbuk.Biarkan mereneh sekejap.
2.Setelah mula menggelegak, masukkan labu dan daun pucuk kaduk.Kacau sentiasa.
3.Masak hingga mendidih.
4.Apabila labu sudah lembut, barulah diperasakan dengan garam dan sedikit gula.
5.Matikan api.