Selasa, 16 Oktober 2012

KUIH TALAM GULA MERAH


Assalamualaikum..
Selamat petang buat rakan- rakan yang dikasihi, semoga kita sentiasa di bawah rahmat dan pengampunanNya, insyaAllah.
Alhamdulillah bersua lagi kita di sini, dengan satu misi yang sama, berkongsi idea dan rasa.
Petang ni saya nak kongsikan kuih talam yang telah saya cuba dari resepi Chef terkenal kita iaitu Chef Hanieliza..Buat kuih macam ni memang satu jihad bagi saya, sebab kena kuat semangat bagi orang macam saya yang tak berapa pakar nak menghasilkannya untuk menjadikan kuih tu cantik dan elok je dipandang...Namun apapun saya berpuashati dengan hasilnya walaupun perlu diperbaiki lagi selalu untuk menghasilkan kuih2 talam yang lebih kemas.Pasang niat tu!!...hi2

KUIH TALAM GULA MERAH

Bahan-bahan:
Lapisan Bawah:
1 cawan gula* | (*) masak dan sejukkan 
1/2 cawan gula pasir*
5 cawan air*
2 cawan tepung gandum
2 sudu besar tepung ubi
1 sudu kecil kapur

Cara:
1.Panaskan kukusan dan sapukan minyak pada loyang.
2.Gaulkan adunan dan tapiskan.
3.Tuangkan dalam loyang dan kukusan selama 20 minit.
4.Bila dah masak cakarkan sikit permukaan adunan dengan garfu.

Lapisan atas:
3 cawan santan pekat
1 cawan tepung beras
1 sudu kecil garam

Cara:
1.Gaul dan tapiskan.Masakkan sedikit adunan ini sehingga naik wap saja.
2.Tuang atas adunan bawah yang telah dicakarkan sikit.
3.Kukus selama 20 minit atau sehingga masak.
4.Sejukkan dahulu baru dipotong dengan pisau plastik dan hidangkan.


Isnin, 15 Oktober 2012

BERGEDIL AYAM






Assalamualaikum..
Alhamdulillah bertemu lagi.Saya masih bersiaran lagi dengan menu yang sangat lama terperap di folder.Sebenarnya sudah lama disiarkan di fb, cuma resepi bergedil ni saya belum pernah updatekan di blog semenjak saya berjinak2 dengan dunia blog.

Resepi bergedil ni biasanya lebih kurang sama, cuma jika ada beza pun tidaklah begitu ketara antara satu resepi dengan resepi yang lain.Resepi ini adalah kebiasaan yang sering saya buat hasil tunjuk ajar bonda saya satu ketika dulu.Resepinya boleh dirujuk di bawah ye.


BERGEDIL AYAM
Resepi:Rohaisha

Bahan-bahan:
500gm kentang | belah wedges dan goreng
1 ketul ayam | kisar *boleh tambah jika mahu
5 ulas bawang merah | hiris dan goreng
3 ulas bawang putih | hiris dan goreng
1 sudu besar udang kering | goreng
4 tangkai daun sup | hiris halus
1 sudu kecil lada putih | tumbuk@ kisar
1 biji telur | kacau * untuk menggoreng
Gula dan garam secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Cara:
1.Gorengkan kentang hingga masak.Toskan sekejap.
2.Gorengkan hirisan bawang merah, bawang putih dan udang kering hingga kekuningan.
3.Kisar kesemua bahan goreng.Ketepikan.
4.Kisarkan ketulan ayam.
5.Lenyekkan kentang yang digoreng tadi (semasa masih panas) dan gaulkan dengan bahan kisar tadi bersama lada putih dan daun sup.
6.Perasakan dengan gula dan garam.
7.Kepal mengikut bentuk yang disukai.
8.Celupkan gumpalan kentang tadi ke dalam telur dan goreng hingga kekuningan.

Jumaat, 12 Oktober 2012

GULAI LEMAK IKAN PARI BERSAMA PUCUK KADUK

Assalamualaikum..
Bersiaran lagi alhamdulillah..Menu kali ini adalah menu masak lemak.Yang enaknya tu sebab saya sekalikan masak lemak ikan pari ni dengan pucuk daun kaduk.Sebelum2 ni memang saya tak berapa kenal rupa paras daun kaduk ni, sehinggalah berjiran dengan seorang makcik yang mempunyai tanaman pokok kaduk.Dengan rasa terujanya saya pun mintalah sikit pucuk kaduknya itu untuk di buat menu ini.Sebab saya pernah merasa lauk yang telah dihantarnya beberapa kali dengan memasukkan ulaman kaduk ni, memang sedap!!
Daun Kaduk


Rupa paras daun kaduk ni seiras macam daun sireh, cuma bezanya saiz pucuk kaduk ni agak kecil sedikit dan tumbuhnya secara menjalar rimbun di permukaan tanah.Saya ada terbaca tentang khasiat daun kaduk ni kat majalah, dipercayai ada nilai perubatannya tersendiri, tapi dah tak ingat bilangan majalah tu, insyaAllah akan saya cari semula nanti.
O.klah, berbalik pada menu, memang aroma daun kaduk ni memiliki aroma tersendiri, jadi bila bercampur dengan ikan pari masak lemak ni, memang boleh menambah nambah nasi semasa menikmatinya..fuhhh, sedap bukan kepalang..O.klah, resepinya yang simple tu bolehlah dirujuk di bawah ye..


GULAI LEMAK IKAN PARI BERSAMA PUCUK KADUK
Resepi:Rohah

Bahan-bahan:
350gm++ ikan pari | potong
1/2 cekak pucuk daun kaduk | buang tangkai yang keras
3 ulas bawang merah | tumbuk
2 ulas bawang putih | tumbuk
2cm halia | tumbuk
2cm kunyit hidup | tumbuk
1 camca kecil udang kering | tumbuk
3 cawan santan sederhana pekat
1/2 keping asam gelugor
Garam
Gula

Cara:
1.Masukkan bahan-bahan tumbuk ke dalam periuk bersama santan.Masak hingga kelihatan sedikit wap barulah dimasukkan ikan pari.
2.Kacau sentiasa menggunakan api perlahan.Anggaran 5 minit, masukkan pula pucuk kaduk, asam gelugor, garam dan gula.Kacau sehingga daun agak lembut dan kuah mendidih.
3.Matikan api setelah gulai masak.

SOTO AYAM


Assalamualaikum....
Bersiaran lagi.Hari ni bubuh N3 tertunggak juga, menu hari raya hari tu.Soto  yang simple je.Ni kira menu pebret saya, kiranya kalau tiba hari raya memang suka buat dan makan soto walaupun kekadang sekadar nak menjamu keluarga je.Kesimpulannya sambut mood rayalah kan..
Untuk buat sup ni biasanya saya guna dua cara, yang ni saya hasilkan kuah supnya hasil dari air rebusan ayam.So, bawang2 semua tu saya tak kisar, just hiris halus dan masukkan sahaja.Ringkas je resepinya, so bolehlah rujuk di bawah ye.


SOTO AYAM
Resepi:Rohah

Bahan-bahan:
2 kiub ketupat nasi (saiz besar)
100gm so hoon/ suhun
4 bahagian ayam
8 cawan air /secukupnya
5 inci halia | ketuk
5 ulas bawang merah | hiris
2 ulas bawang putih | hiris
1 buntil sup bunjut
2 sudu besar rempah sup | bancuh dengan sedikit air
2 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
1 biji kiub ayam knorr

Bahan sampingan:
Daun sup
Daun bawang
Bawang goreng
Cili merah besar
Taugeh (lupa nak bubuh daaa..)
Kacang tanah goreng secukupnya
Sambal kicap

Cara:
1.Panaskan minyak dan goreng suhun sedikit demi sedikit.Ketepikan.
2.Rebus ayam besama air hingga ayam kelihatan empuk.Asingkan ayamnya, dan jangan buang air rebusan kerana akan dibuat untuk supnya pula.
3.Ayam disiat kecil2 dan ketepikan.
4.Untuk sup tadi, masukkan sahaja hirisan bawang merah, bawang putih, halia, bunga lawang, kulit kayu manis, kiub ayam, sup bunjut dan rempah sup.Biarkan sehingga bahan-bahan tersebut meresap.
5.Perasakan dengan garam dan sedikit gula.Matikan api.
6.Hidangkan nasi impit bersama suhun goreng, ayam  dan kuah sup tadi.Taburkan pula bahan2 sampingan dan sambal kicap, selamat menjamu selera.


Rabu, 10 Oktober 2012

KEK LAPIS CHOCHOLATE PEPPERMINT


Assalamualaikum..
Selamat petang dan salam manis buat pengunjung2 Damai Qalbu.Semoga ceria-ceria selalu disamping menjalani aktiviti harian.

Terus kepada resepi yang dikongsi hari ni iaitu Kek Lapis Chocholate Peppermint.Kek ni dibuat pada ramadan tempohari, sebagai hidangan untuk tetamu pada Syawal yang lalu..tetapi lambat untuk dikongsi kat sini.
Berminat sangat saya dengan resepi olahan brother Rozzan ni. Kebetulannya saya masih ada stock esen peppermint yang belum dirasmikan lagi.sesuai sangatlah tu.Pada saya kek lapis ni agak menarik coz tergabungnya 2 rasa yang agak unik, rasa coklat dan rasa segar2 pudina macam baru lepas memberus gigi pun ada bila makan kek ni.hihi...
TQ untuk Br@Rozzan dengan perkongsian resepinya..insyaAllah boleh buat resepi ulangan lagi.

KEK LAPIS CHOCHOLATE PEPPERMINT
Resepi olahan:BR@RSR

Bahan-bahan:
300gm mentega
120gm gula halus
6 biji telur (saiz besar)
80gm sekaya
250gm susu pekat manis
80gm Horlicks
2 sudu teh esen peppermint
2 sudu besar serbuk koko*
1/2 sudu teh esen vanila*
3 sudu besar air panas* | dicampurkan dan dijadikan pes coklat
Secukup pewarna hijau
160gm tepung Hong Kong @ tepung kek
Loyang berukuran 7"x7" | dialas dengan kertas pada dasarnya dan digris sekeliling loyang

Cara:
1.Pukul mentega bersama gula dengan high speed sehingga kembang (kira-kira 7-8 minit).
2.Masukkan telur sebiji sebiji sambil terus memukul hingga sebati.(kira-kira 4-5 mnit)
3.Perlahankan speed (sederhana) lalu masukkan sekaya, susu manis dan Horlicks.Pukul lagi hingga rata.
4.Perlahankan lagi speed (slow, sekadar nak ratakan tepung) dan masukkan tepung Hong Kong dan biarkan adunan sebati.Jangan terlalu lama, kira-kira1-2 minit je ataupun anda boleh gunakan kaedah fold-in method bila nak masukkan tepung ke dalam adunan telur atau mentega tadi.Tak payah gunakan mixer.
5.Bahagikan adunan kepada 2 bahagian:
i)1 bahagian dibubuh esen peppermint dan pewarna hijau
ii)1 bahagian lagi dibubuh pes coklat
6.Panaskan ketuhar dengan suhu kira-kira 180-190 darjah celcius, api atas dan bawah.Bubuh 2 senduk adunan coklat ke dalam loyang kek lalu ratakan.Bakarlah lapisan pertama ini sehingga masak.(kira-kira 6-7 minit).Setelah masak, keluarkan dari ketuhar dan tekan sikit dengan penekan kek lapis agar rata.
7.Kemudian tukar suhu ketuhar kepada 200-210 darjah celcius (api grill/ atas sahaja).Bubuh pula 2 senduk adunan peppermint/ hijau dan bakarlah sehingga masak (6-7 minit).Bakarlah berselang seli warna cokelat dan hijau sehingga selesai semua adunan.

Note rohaisha:untuk suhu oven saya sarankan ikut kesesuaian suhu oven masing2 untuk elakkan sedikit hangit pada setiap permukaan kek.Next time saya pun kena adjust sikit suhu tu (kurangkan).

Selasa, 9 Oktober 2012

TALAM TOKYO


Assalamualaikum..
Bersiaran lagi di keheningan malam...Mungkin dah ada yang masuk tidur mahupun sudah diulit mimpi rasanya.InsyaAllah sama-samalah kita bermohon kepada yang Esa agar hari esok menjanjikan keceriaan buat kita semua.
Terus kepada menu tayangan malam ini...Inilah dia kuih talam.Dah lama tak buat talam talam bagai ni..rindu nak menjamah rasanya.Banyak kali makan talam tokyo ni, tapi beli kat makcik yang berniaga sarapan pagi berhampiran di tempat saya ni je..Kali ni mencuba sendiri, sebab dah tahu kuih ni memang sedap sangat, ala2 serimuka.Pssssttt...,tapi permukaan kuih saya ni tak secantik kak Yatie punya..menggerutu je kelihatannya.Selalu sangat saya terlama mangaduk tepung time naik wapnya tu..asyik terlajak lama macam nak kacau dodol je..ekeke...takpelah untuk makan sendiri je, janji sedap!.

Tapi saya tetap tak serik na bab talam menalam ni..seriusss!!
Sesiapa belum pernah buat tu, cuba2lah buat, asyikkk sangat diapunya rasa kuih ni..sebab berkait sejarah dengan bandar Tokyo kot..(gurau je ye..).TQlah saya ucapkan buat Chef terkenal kita iaitu Chef Asma yang empunya sebenar resepi ni, sedaplaaaa!! TQ juga  untuk kak Yatie yang rajin sangat lebar-lebarkan resepi aneka talam dilaman kesayangannya tu ye..lain hari cuba talam yang lain pulak ye kak!!

TALAM TOKYO
Resepi:Chef Asma
Sumber:Yatie

Bahan Untuk Lapisan Bawah (Loyang 10x10x2")
300gm sagu kecil warna putih
60gm sohoon
100gm kelapa parut putih
100ml santan pekat
300ml air
1 sudu kecil garam

Cara-cara:
1.Cuci sago sebentar, rendam selama 30 minit dan toskan.
2.Rendam sohoon dengan air suam selama 30 minit, toskan dan potong kecil-kecil.
3.Satukan bahan-bahan diatas dan masukkan ke dalam loyang 10x10x2" yang telah dioleskan dengan minyak.Saya alas plastik dan oleskan sedikit minyak.
4.Kukus selama 25-30 minit dan tekankan sikit dengan sudu supaya lapisan menjadi sama rata.

Bahan Untuk Lapisan Atas:
4 biji telur
300gm gula pasir
400m santan pekat
400ml air + 3 helai daun pandan (blender dan tapiskan)
100gm tepung kastard
Sedikit pewarna hijau
1/8 sudu kecil alkaline water@air abu *(boleh guna air kapur)
1/2 sudu kecil garam

Cara-cara:
1.Campurkan semua bahan dan blend rata.
2.Kacau sebati dan tapiskan.Masukkan ke dalam periuk dan masak hingga naik wap.
3.Tuangkan adunan ke atas lapisan bawah dan kukus selama 30 minit.
4.Padamkan api dan angkat kuih setelah masak.Biarkan kuih benar-benar sejuk baru dipotong.


Isnin, 8 Oktober 2012

NASI JAGUNG caraku jua..


Assalamualaikum...
Selamat malam..Alhamdulillah jumpa lagi di sini di atas limpah kurnia dan rahmat yang Esa.
Seperti yang dijanjikan pada N3 Ayam Boxing Bersos, saya ada menyebut tentang Nasi Jagung yang telah dipadankan dengan menu ayam tersebut.Nasi ni memang kerap saya buat sebelum2 ni cuma  belum bersedia & berkesempatan untuk diambil koleksi gambarnya untuk dikongsi bersama.Kebetulan kali ni saya menyediakannya jatuh pada hari cuti hujung minggu, jadinya berkesempatanlah saya untuk snap pic caca merba disamping tidak terganggu sangat dengan urusan menjemput anak2 pergi dan pulang sekolah.
Walaupun nasi ni hanya digandingkan dengan menu kering tanpa kuah banjir2..hihi (Ayam Boxinglah tu...), tapi dari ayah ke anak makan menambah2..alhamdulillah, memang diaorang suka..
O.klah, untuk rujukan bersama saya sisipkan resepinya di sini.Kalau berkeluarga besar tu bolehlah adjust kat kuantitinya sahaja.Selamat mencuba ye!

NASI JAGUNG
Resepi:Rohaisha

Bahan-bahan: (anggaran 6 orang)
2 1/2 cawan beras basmathi
1/2 cawan susu cair
3 cawan air (bergantung pada beras juga/ ikut kesesuaian)
2 helai daun pandan | simpul
1 labu bawang besar | *separuh kisar & separuh lagi hiris
2 ulas bawang putih | hiris
2cm halia* | kisar
2 kuntum bunga lawang
3/4 cawan jagung krim (dalam tin)
1 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar mentega
1 1/2 sudu besar garam
Sedikit pewarna kuning

Cara menyediakan:
1.Rendamkan beras seketika, cuci dan toskan.
2.Kisarkan separuh bawang besar bersama bawang putih dan halia.
3.Panaskan minyak sapi dan mentega, tumiskan bahan kisar hingga naik bau, kemudian masukkan hirisan bawang besar dan bawang putih, bunga lawang dan daun pandan.Kacau.
4.Masukkan beras, gaul rata bersama susu cair.Masukkan air secukupnya bersama garam.Kacau sedikit.
5.Tanak nasi seperti biasa.Apabila nasi mula mengering, masukkan jagung krim dan kacau rata perlahan-lahan.Selepas itu titiskan sedikit pewarna kuning di merata bahagian.Tutup semula periuk nasi.(Tak perlu gaul dahulu ketika ini).Biarkan tanak seketika.
6.Setelah masak, barulah dikacau sedikit.
7.Hidangkan dengan lauk yang sesuai.

AYAM BOXING BERSOS caraku...


Assalamualaikum...
Selamat pagi isnin..Semoga ceria2 rakan maya semua dan dipermudahkan urusan harian kita hari ini insyaAllah.
Hari ni saya ingin berkongsi menu Ayam Boxing @ Ayam Tinju cara saya.Kalau tengok kat u tube, mereka gunakan kepak ayam, tapi saya guna peha ayam yang kedebab2...Puas saya kumpulkan peha ayam ni semasa syawal hari tu...inilah perancangannya sebab nak buat Ayam Tinju...Untuk step2 ringkas cara buatnye tu, bolehlah dilihat pada pic yang dah saya ambik.InsyaAllah semua dah tahu gaknye...

O.klah, resepinya saya sisipkan kat bawah tu ye, walaupun simple tapi kira ngamlah dengan selera kami sekeluarga..Lupa pulak, menu ni saya gandingkan dengan Nasi Jagung caraku juga, insyaAllah akan menyusul kat entri seterusnya nanti.Tunggu ye..

AYAM BOXING BERSOS
Resepi:Rohaisha

Bahan-bahan:
8 ketul peha ayam
Garam secukup rasa
1 sudu besar serbuk lada  sulah
1 sudu kecil parsley kering*
1 sudu kecil basil kering*
1 sudu kecil rosemary kering* | tumbuk lumat bahan bertanda (*)
1 biji telur (kacau bersama tepung jagung)
1 sudu besar tepung jagung
2 sudu kecil bijan hitam | separuh bubuh dalam bancuhan telur & sebahagiannya gaul bersama serbuk roti
1 cawan serbuk roti
Minyak masak untuk menggoreng

Cara menyediakan:(rujuk pada gambar di bawah sekali)
1.Peha ayam dicuci bersih.Potong sekeliling pergelangan peha di bahagian tulang, kemudian hiris sedikit isi menghala ke bawah untuk memudahkan proses mengupas isi.Tolak isi ayam tadi dan lipat terus ke bawah dan biarkan ia berkumpul di situ.Kemudian buang bahagian tunggul yang ada berhampiran dengan pergelangan tulang yang mula-mula tadi.Buat proses yang sama ke atas semua peha ayam sehingga selesai.
2.Lumurkan ayam dengan garam, lada sulah dan rempah yang ditumbuk lumat tadi dengan rata.Biarkan 10 minit.
3.Celupkan peha ayam ke dalam bancuhan telur bersama tepung jagung dan sebahagian bijan hitam tadi.
4.Salutkan pula peha tadi dengan campuran serbuk roti bersama bijan hitam sehingga rata.(untuk memudahkan proses menyalut, curahkan campuran serbuk roti & lada hitam menggunakan sudu)
5.Panaskan minyak, goreng peha ayam sehingga masak kekuningan dengan api sederhana besar.
6.Hidangkan bersama sos.
Bahan Untuk Sos:
1 labu bawang besar | hiris bulat
1 biji tomato | potong dadu
2 biji bawang putih | hiris
2 inci halia | potong dadu halus
2 tangkai lada merah besar | potong bulat
2 tangkai lada hijau besar | potong bulat
2 sudu besar cili giling
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili/ tomato
1 sudu besar sos lada hitam
1 sudu besar gula perang
1/4 cawan air
1/2 sudu kecil | bancuh bersama 2 sudu besar air
Sedikit garam

Cara menyediakan:
1.Tumiskan bawang besar, bawang putih dan hali hingga naik bau.Masukkan cili giling dan biarkan pecah minyak sedikit.
2.Masukkan bersama lada merah dan lada hijau, sos tiram, sos  cili/tomato, sos lada hitam dan kacau rata.
3.Bubuhkan air, renehkan.Masukkan cincangan tomato  dan gula perang.Setelah mendidih, masukkan bancuhan tepung jagung, perisakan dengan sedikit garam dan kacau hingga sekata.
4.Tutup api.



Sabtu, 6 Oktober 2012

LAWAR TERUNG BERSAMA IKAN PARI vs TEMPE GORENG TEPUNG


Assalamualaikum...
Buat pengunjung setia Damai Qalbu, selamat bermalam minggu bersama insan2 tersayang di sisi...Apa khabar semua, dan apakah aktiviti yang dirancangkan untuk esok di siang hari?..Mungkin dah ada plan yang bagus2 kan...Saya doakan semoga ianya berjalan lancar..
Malam ni saya bersiaran dengan menu sayuran merangkap  lauk sekali...Saya percaya ramai yang dah biasa dengar istilah lawar...Apa yang saya tahu menu ni adalah kebiasaan bagi orang negeri Sembilan.Sebelum2 ni ada juga saya buat lawar ni, tapi dia bubuh nama "acar"...Yang tu saya buat Acar Jantung Pisang.Perencahnya lebih kurang sama, enak sebab dia banyak bubuh udang kering..
Untuk resepi ni pada asalnya hanyalah pakai terung, tapi dekat note tu dia kata boleh dipelbagaikan, dan kebetulannya ada ikan  yang sesuai untuk dipanggang, jadinya saya masukkan sekali sedikit ikan pari.Merangkap lauk sekalilah jadinya, lagilah senang...tak perlu nak tambah lauk2 lain..
Kalau mengikut resepi asal, kuah untuk lawar ni tak perlu dimasak, cuma perlu campurkan sahaja terung tu dengan bahan2 perencahnya, tapi saya sengaja panaskan sekejap santan tu sehingga agak2 berwap.
Pemilik resepinya adalah dari Chef terkenal iaitu Chef Ismail..maaflah chef ye, disebabkan saya bubuh sekali ikan pari tu dalam lawar ni, so saya ada tokok tambah sikit sepatah dua kata kat cara penyediannya tu...hihi.

Tempe Goreng Tepung...cukup sempoi!! tapi selalu habis...

Masa buat menu ni, kebetulan ada stock tempe...apa lagi!!! Saya buat tempe goreng tepung yang paling sempoi..!!, memang cocok betul bergandingan dengan lawar ni..

LAWAR  TERUNG BERSAMA IKAN PARI vs TEMPE GORENG TEPUNG
Resepi:Chef Ismail Ahmad@Majalah SAJI (Lawar Terung)
Olahan:rohaisha

Bahan-bahan:
300gm ikan pari | potong & panggang
2 tangkai terung (saya guna 4 biji terung saiz kecil)
1 labu bawang besar | hiris
5 tangkai cili padi | hiris (saya kurangkan)
250ml pati santan (saya lebihkan sikit) 
1/2 sudu besar air limau kasturi
Sedikit garam

Bahan kisar:
3 tangkai cili merah
3 sudu besar udang kering | rendam
3 tangkai cili kering | rendam sehingga lembut
1 sudu kecil biji lada hitam 

Cara menyediakan:
1.Panggang terung di atas bara api sehingga masak.Kemudian kupas kulitnya.
2.Belah  2 terung tersebut secara tidak putus.Ketepikan sehingga terung sejuk.
3.Panaskan oven pada suhu 160 darjah C dan lengserkan loyang dengan sedikit minyak.Panggangkan ikan pari selama 10 minit.
4.Panaskan santan sehingga meruap.Matikan api.Kemudian masukkan bahan kisar ke dalam mangkuk bersama hirisan bawang besar, cili padi, pati santan, air limau kasturi dan garam secukup rasa.Kacau rata.
5.Akhir sekali bolehlah masukkan isi terung bersama ikan pari panggang dan kacau sebati.Hidangkan dengan segera.

Nota SAJI:Selain terung, boleh juga gunakan mangga, bacang muda, jantung pisang, timun ataupun daging.Jika daging, rebus dan hiris nipis2, lalu dipanggang di dalam ketuhar pada suhu 160 darjah C selama 10 minit.


TEMPE GORENG TEPUNG
Resepi:rohaisha

Bahan-bahan:
6 bungkus tempe (bungkusan daun pisang)
Tepung gandum secukupnya
Serbuk kunyit secukupnya
Garam
Sedikit air
1 biji telur
Minyak masak

Cara:
1.Tempe di hiris tidak terlalu nipis.Renjiskan dengan sedikit air agar basah/ lembab sedikit.
2.Gaulkan dengan garam dan serbuk kunyit secukupnya.Pecahkan telur dan gaul rata.Taburkan pula dengan tepung gandum secukupnya.Sebatikan.
3.Panaskan minyak dan goreng hingga kekuningan.