Rabu, 31 Oktober 2012

TUMIS PETOLA je..

Assalamualaikum..
Salam ceria buat semua  pengujung Damai Qalbu..Terima kasih atas kunjungan ke laman yang tak seberapa ini.Hari ni saya berkongsi rasa dengan menu sayur yang biasa kita dengar dan simple sesimplenya untuk penyediaannya..Kadangkala yang simple itu yang paling enak bagi saya.Sayur Petola Tumis je...Jom ke dapur..
TUMIS PETOLA
resepi:rohaisha

Bahan-bahan:
1 biji petola | kupas sedikit kulitnya & potong
3 ulas bawang merah | tumbuk
3 ulas bawang putih | tumbuk
5 gm ikan bilis/ secukupnya | tumbuk
2 tangkai cili api | tumbuk
1 tangkai cili merah | hiris
Sedikit air
Garam
Minyak untuk menumis

Cara:
1.Tumiskan bahan tumbuk hingga layu.Masukkan sedikit air dan garam.Renehkan.
2.Masukkan petola, kacau dan tutup sekejap dengan tudung kuali agar empuk sedikit.Taburkan hirisan cili merah.Kacau rata.
3.Matikan api.Hidangkan.


MUDAH je kan..heheee..


Selasa, 30 Oktober 2012

SUP IKAN MAYONG


Assalamualaikum
Selamat pagi dan salam ceria2 selalu.Hari ni saya ingin kongsikan menu simple tapi segar je bila hirup kuah dia time panas2 lagi.Maklum je beberapa hari ni kita asyik menjamah menu daging je kan.So, kita rehatkan dulu perut kita dari menu daging tu ye..

Untuk sup ikan macam ni saya memang gemar menggunakan punjut Sup Ikan ADABI sebab dalam paket tu dah ada sekali kayu manis, buah keras dan istimewanya ada daun salam sekali, itu yang menjadikan sup kita harum dan enak kuahnya.Untuk resepinya yang simple tu bolehlah jengah di bawah tu ye.

SUP IKAN MAYONG
Resepi:rohaisha

Bahan-bahan:
1kg ikan mayong
3 ulas bawang merah | hiris
3 ulas bawang putih | hiris
1 punjut Sup Ikan ADABI (1 paket)
1 batang serai | ketuk
5 inci halia | ketuk
Lada putih kisar secukupnya
Garam
Gula
Minyak masak
Daup sup
Bawang goreng

Cara:
1.Tumiskan bawang merah, bawang putih, halia dan serai hingga wangi dan kekuningan.Masukkan air secukupnya.Didihkan.
2.Masukkan ikan dan punjut Sup Ikan.Biarkan ikan masak sepenuhnya.Perasakan dengan garam, gula dan lada putih kisar secukupnya.
3.Matikan api.Hidangkan bersama hirisan daun sup dan bawang goreng.

Ahad, 28 Oktober 2012

TALAM ABC


Assalamualaikum...
Bersua lagi kita di Hari Raya Korban yang ke-3.Alhamdulillah di atas segala nikmat yang Allah beri kepada kita, dan didoakan semoga rakan2 maya yang dikasihi sentiasa dalam limpah rahmat kurniaNya dan sihat seperti sediakala.
Kembali lagi bersiaran pada hari ni dengan kuih Talam ABC, sebut je dah rasa tertarik je kan..Disebabkan tertarik tu lah saya lagi terhingin nak cuba..Sekarang ni tengah syok nak menalam, kalau boleh, hari2 nak makan kuih talam je rasanya...hi2.

Untuk resepi talam ni, macam biasa saya banyak rujuk kat blog kak Yatie, suke terjah koleksi kuih talam yang telah dicuba oleh beliau...anggun je kan kuih2 talam kakak nie.Bila pandang kuih2 talam dia, memang boleh dijadikan peniup semangat untuk memulakan tugas menalam tu.Kuat auranya tu kak Yatie..hehe,tapi untuk resepi asalnya pula adalah dari Chef Asma.
 TQ buat mereka berdua ni..

TALAM ABC
Resepi:Chef Asma
Sumber:Yatie

Bahan Lapisan Bawah (10x10x3")
Bahan (A):
2 cawan tepung beras
4 sudu besar tepung Hoen Kwee (putih)
1 cawan santan pekat
3 cawan air
1 cawan gula kastor
1/2 sudu kecil garam

Bahan (B):
1 cawan cendol (toskan airnya)
1 cawan whole kernel corn (toskan airnya)
1 cawan kacang merah (yang telah direbus dan toskan airnya)

Cara-cara:
1.Satukan bahan A dan dikacau hingga sebati.
2.Masak atas api sederhana sehingga naik wap.(separuh pekat)
3.Masukkan bahan (B)  dan gaul hingga sebati.
4.Tuang ke dalam loyang yang dialas plastik dan disapu minyak kelilingnya.

Bahan Lapisan Atas
Bahan-bahan:
1 cawan gula kastor
2 cawan air
1 cawan santan pekat
1 1/2 cawan tepung gandum
3 biji telur
1/2 sudu kecil garam
Sedikit pewarna pink

Cara-caranya:
1.Satukan semua bahan-bahan untuk lapisan atas, kacau sehingga rata.
2.Masak sehingga naik wap.(sedikit pekat)
3.Cakar sedikit gunakan garfu lapisan bawah dan tuangkan adunan lapisan atas.
4.Kukus lagi selama 25 minit.
5.Biarkan betul-betul sejuk barulah dipotong menggunakan pisau plastik supaya cantik.



Selasa, 23 Oktober 2012

KEK CHEESE BERSALJI @ SNOW CHEESE CAKE


Assalamualaikum...
Selamat malam rakan2 yang dikasihi, bertemu lagi di sini..alhamdulillah.Mudah-mudahan ada keberkatan dari yang Esa.Beberapa hari lagi semua umat Islam akan menyambut Aidil Adha, semoga kita dapat meraikannya dengan penuh kesyukuran.

Hari ni ingin berkongsi rasa Kek Chesee Bersalji yang sangat mabeleeessss, kaya ngan rasa lemak2 cheese..Memang teruja bila tengok kawan2 kat luar sana dah mencuba kek ni.Lagi terpaut hati saya bila ternampak  Kak dZana punya kek hari tu, simpan terus hajat tu menjadi rindu membara nak membuatnya & teringin nak makan semenjak dua menjak ni.Kali ni memang tak berlengah2...
Mengasyikkan.. 
TQ kepada pemilik resepi ini dan kak dZana yang sudi berkongsi rasa...

KEK CHEESE BERSALJI @ SNOW CHEESE CAKE
              Kak dZana@Inspirasiku 

Bahan-bahan:
6 biji telur (buang 2 putihnya)
100gm gula halus
100gm tepung Hong Kong (Blue Key Superfine pun boleh juga)-saya guna Self Raising Flour
60gm tepung jagung
50gm air sejuk (dari peti ais)
1 sudu teh baking powder (saya tak letak) 
2 sudu makan ovalet
75gm mentega | dicairkan

Bahan Untuk Krim:
1 kotak cream cheese Philadelphia (saya guna cream cheese Tatura)
1/2 tin susu pekat manis (satukan kedua bahan & putar sehingga tidak berketul2)

Bahan Untuk Topping:
1/2 kotak Kraft Cheddar Cheese |  parut
Esen Vanila (saya tak letak)

Cara:
1.Masukkan semua bahan-bahan kecuali mentega cair dan putar.
2.Putar dengan kelajuan sederhana sehingga pekat dan putih.Akhir sekali masukkan mentega cair.Putar lagi sehingga sebati dan pekat.
3.Sedikan acuan yang telah dialas dengan kertas minyak atau yang telah disapu dengan sedikit butter.
4.Bakar  dalam acuan dengan menggunakan api atas dan bawah selama 45 minit hingga ke 1 jam, dengan kepanasan 150 darjah celcius.(saya bakar 1 jam lebih: ikut oven masing2)
5.Bila sudah masak biarkan sejuk.Bila dah sejuk, ambil pisau kek dan potong ditengah-tengah kek supaya menjadi dua bahagian.
6.Sapukan krim cheese di atas separuh kek tadi, kemudian letakkan sebahagian lagi kek di atasnya.
7.Sapukan lebihan krim cheese sehingga menutupi seluruh kek.
8.Akhir sekali taburkan cheese Kraft yang telah diparut tadi ke seluruh kek sebagai toppingnya.(Guna mata parut yang halus).
9.Masukkan dalam peti sejuk dalam 1-2 jam.Selepas itu barulah dipotong.



Isnin, 22 Oktober 2012

TALAM CENDOL


Assalamualukum..
Salam pagi isnin yang mendung, walau bagaimanapun semoga cuaca yang Allah beri hari ini memberi manfaat buat kita, bukanlah sebaliknya.Apa khabar rakan-rakan yang dikasihi, didoakan sihat dan ceria2 hendaknya.

Hari ini dapat saya bersiaran dengan resepi Talam Cendol Chef Asma yang sedap.TQ kepada Kak Badaria kerana memanjangkan resepinya.Boleh dibuat resepi ulangan di masa akan datang.Boleh rujuk resepinya di bawah ye.Selamat mencuba..

TALAM CENDOL
Sumber Resepi:Kelas Talam Chef Asma
Sumber:Bdaria

Lapisan Bawah
Bahan-bahannya:
Bahan A:
200gm tepung beras*
250gm santan pekat*
450ml air*
1 sudu besar tepung jagung*
150gm gula kaster (saya guna 120gm sahaja mcm Kak Bdaria)
1 susu teh garam

Bahan B:
100gm cendol@1 paket kecil

Cara-Caranya:
1.Satukan bahan bertanda (*) dan tapis ke dalam periuk.Masukkan bahan lain di bahagian A.
2.Masak bahan A sehingga naik wap.(Jangan sampai pekat sangat, sekejap sahaja atas api, guna senduk kayu untuk mengacau.Kacau sentiasa dan bila terdapat ketulan tepung disenduk kayu, tutup api dan guna hand whisk untuk ratakan adunan tersebut).
3.Angkat dan masukkan cendol.Gaul rata.
4.Masukkan ke dalam loyang 10x10x2" yang telah disapukan dengan sedikit minyak dan dialas dengan plastik.
5.Kukus selama 25 minit.
6.Selepas masak, cakar-cakar dengan garpu.

Lapisan Atas:
Bahan-bahannya:
Bahan A:
300gm gula merah (saya guna gula melaka)
50gm gula kastor
500ml air

Bahan B:
150gm tepung gandum
3 biji telur (boleh guna 5 biji telur kalau nak banyak telur)
250ml santan pekat
1/2 sudu teh garam

Cara-caranya:
1.Masak bahan A sehingga gula hancur dan sejukkan sebentar.
2.Satukan semua bahan B dan kacau sehingga sebati.
3.Masukkan bahan A ke dalam B dan tapis dan masukkan kedalam periuk.
4.Masak hingga naik wap (jangan pekat sangat, masak sekejap sahaja).
5.Tuang ke atas lapisan bawah dan kukus selama 30 minit.




Jumaat, 19 Oktober 2012

HATI LEMBU MASAK KICAP


Assalamualaikum...
Salam ceria, bersua lagi alhamdulillah..Kelam cucca petang ni, musim hujan dah bermula, semoga kita sentiasa diberi kesihatan dan dapat menjalani kehidupah seharian dengan tenang insyaAllah.
Hari saya berkongsi resepi yang simple dari hati lembu.Dah menjadi pebret menu ni, tapi tak selalu makan hati lembu ni, nanti makan hati berulam jantung la pulak..heehe..

O.klah, menu yang biasa2 je, dan resepinya bolehlah dirujuk di bawah ye...Sedapnya makan hati lembu...ummmpphh!!

HATI LEMBU MASAK KICAP
Resepi:Rohaisha

Bahan-bahan:
400gm hati lembu | rebus & hiris (rebus satu jam)
1 labu bawang besar* | kisar
1 labu bawang besar | hiris
3 ulas bawang putih* | hiris
4cm halia* | kisar
2 kuntum bunga lawang
1batang kulit kayu manis
2 sudu besar kicap pekat
2 sudu besar saus manis ABC
1 sudu besar kicap cair
1 cawan air
3 tangkai cili kering | potong pendek dan rendam air panas 
1 sudu kecil lada hitam kisar
1 sudu kecil lada putih kisar
Garam 
Gula
Minyak masak

Cara:
1.Cuci bersih hati lembu, dan rebus selama 1 jam atau sehingga empuk.Toskan dan potong ikut kesukaan.
2.Tumiskan bawang besar, bahan kisar hingga layu.Masukkan kulit kayu manis dan bunga lawang.Kacau hingga naik bau.
3.Masukkan kicap pekat, saus manis ABC dan kicap cair bersama air.Renehkan sekejap.
4.Masukkan hati lembu, kacau rata dan tutup kuali sekejap dengan tudung periuk.Biarkan hati masak dan empuk.Masukkan cili kering, lada hitam, lada putih, garam dan gula.Biarkan sekejap dan tutup api.
5.Hidangkan.

Khamis, 18 Oktober 2012

AIR CENDOL


Assalamualaikum....
Selamat petang dan bersiaran kembali.Semoga ceria2 selalu manjalani aktiviti seharian.Alhamdulillah dapat bersua kembali di sini.Seperti yang dijanjikan pada entri Cendol Pandan semalam, saya katakan akan muncul N3 Air Cendol pula, jadi di kesempatan ini dapatlah juga siapkan N3nya.

Cuaca panas hari ni, memang sedap dapat menikmati lebihan cendol yang dibuat semalam.Cuma untuk kuah santan yang sedap, seeloknya tidak perlu panaskan santan tu, tapi harus diingat, air yang digunakan untuk perahan santan tu mestilah bertapis ataupun guna air yang telah dimasak dan sejukkan dahulu supaya kebersihannya terjamin..
O.k, selamat mencuba. 


AIR CENDOL
Resepi:Rohaisha

Bahan-bahan:
Kuah Santan:
800ml santan pekat* (dari sebiji kelapa) | *satukan bersama
1 sudu kecil garam* @ secukup rasa
1 helai daun pandan*

Bahan Asas & Aksesori Cendol:
Cendol secukupnya (saya ikut sukatan resepi Cendol Pandan)
100gm sagu besar | rendam sekejap, tos dan rebus
2 pewarna (untuk sagu)
50gm kacang merah | rebus
Air batu kisar

Bahan Air Gula:
2/4 cawan gula merah
3/4 cawan gula perang (brown sugar)
1 helai daun pandan
1 1/2 cawan air 

Cara:
1.Sediakan cendolnya.Ketepikan.
2.Kuah Santan:Satukan santan, garam dan daun pandan dalam periuk.Jerang atas api sederhana sekadar berwap sahaja.Sejukkan.
**Lagi sedap jika tidak dimasak, tetapi harus hasilkan perahan santannya menggunakan air tapis.
3.Sagu direndam sekejap dan toskan.Sementara itu didihkan sedikit air, masukkan sagu dan masak hingga sagu nampak jernih (lebih kurang 1 jam).Setelah masak toskan dan siram dengan air paip.Bahagikan kepada 2 bahagian.Rendam sagu dalam bekas yang berlainan dengan air sejuk biasa, warnakan sagu dengan pewarna yang berlainan agar warna meresap.Biarkan setengah jam dan tapis.Alirkan air pada sagu2 tadi, toskan dan masukkan dalam bekas.(Boleh simpan dalam peti ais).
4.Cuci kacang merah dan rebus hingga empuk.Toskan dan masukkan dalam bekas.(Boleh simpan dalam peti ais).
5.Air Gula Merah:Satukan gula merah, gula perang dan air dalam periuk.Renehkan hingga gula larut.Tapis dan sejukkan.
6.Penyediaan:Masukkan cendol dan aksesoarinya dalam cawan, siramkan kuah santan, tuangkan air gula secukupnya dan bubuh air batu kisar.Selamat menikmatinya.


Rabu, 17 Oktober 2012

CENDOL PANDAN

Assalamualaikum...
Selamat malam rakan-rakan maya, apa khabar semua??Di doakan semoga semuanya sihat2 belaka dan dapat menjalani aktiviti seharian dengan ceria.
Hari ini berkesempatan membuat cendol sendiri sebab teringin minum air cendol homemade.Dari pagi menyediakan aksesorinya, sampailah ke petang baru siap, sebab byk break2nya.Sakit belakang rasanya..ni baru buat cendol satu periuk kecik je kan, belum lagi berniaga air cendol yang bertong2 tu ....ki2, dah lenguh2 segala..InsyaAllah N3 Air cendolnya akan menyusul di lain hari ye.O.klah, kita terus kepada resepinya..
Sebelum tu, TQ Flo atas resepi cendolnya yang lembut dan sedap ...


CENDOL PANDAN
Resepi:Flo@Myr

Bahan-bahan:
3/4 cawan tepung beras
1/4 cawan tepung jagung
3 cawan air  +  pandan (saya guna 10 helai daun pandan)
1 sudu garam @ secukup rasa (saya guna 1 sudu kecil)
1 sudu kecil (sudu kfc) serbuk kapur
Sedikit pewarna hijau (yang ni saje tambah, resepi asal tak ada)

Cara-cara:
1.Satukan semua bahan di atas dan tapis.
2.Masak dalam kuali non-stick hingga kental dan berkilat.Biasanya mengambil masa 25-30 minit bergantung kepada kekuatan api dan ketebalan kuali.
3.Masuk dalam acuan cendol (acuan maruku atau sebarang jenis acuan yang sesuai.Flo guna sudip menggoreng yang berlubang), dan tekan dalam air sejuk (air dari peti sejuk).Pastikan bahagian bawah acuan tidak menyentuh air sejuk.
4.Simpan cendol bersama airnya di dalam peti sejuk (tak tahu berapa lama boleh tahan, mungkin seminggu je sebab tak ada bahan pengawet)
5.Boleh makan bersama santan pekat+gula merah, atau ais kacang..ikut suka.

AYAM TOMYAM


Assalamualaikum..
Salam ceria dan salam mahabbah buat rakan-rakan maya yang dikasihi.Semoga semuanya sihat dan mendapat keberkatan dari yang Maha Esa.
Hari ini saya mahu kongsikan menu dari ayam yang dimasak bersama pes tomyam ADABI.Semudah yang kita bayangkan sebab kita guna pes yang dah siap..Hanya tambahkan bahan-bahan asas dan daun limau purut beserta serai sahaja.Jom tengok resepinya..

AYAM TOMYAM
Resepi:Rohaisha

Bahan-bahan:
1kg ayam | potong 
1 labu bawang besar | hiris
1 labu bawang besar | kisar
3 ulas bawang putih | kisar
1 biji tomato | kisar
2 cm halia | kisar
1 tangkai cili merah/ besar |  kisar
2 tangkai serai | ketuk
6 tangkai daun limau purut
2 paket tomyam ADABI
1 cawan air
Gula secukupnya
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara:
1.Tumiskan bahan kisar hingga layu dan masukkan hirisan bawang besar.Kacau hingga nampak sedikit naik minyak.
2.Bubuh pes tomyam, masukkan serai, daun limau purut dan kacau sekejap.Masukkan ayam.Gaul rata.
3.Tuangkan air, bubuh gula dan kacau sedikit.Tutupkan kuali agar kuah mereneh dan ayam menjadi empuk.
4.Perasasakan garam dan sesekali dikacau sehingga ayam masak.
5.Matikan api apabila kuah nampak sedikit pekat dan ayam sudah masak.